MP PAS Hulu Langat: Hasil terbaik R&D Bioteknologi perlu dihebahkan

Listed by burhanuddin othman

Slideshow image
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan data tentang sejauh manakah kerajaan memanfaatkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan di dalam bidang bioteknologi untuk dikomersialkan. Berapa ramaikah pula siswazah bioteknologi yang bekerja di dalam bidang berkenaan.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi [Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berperanan menyediakan geran untuk membiayai penyelidikan yang dijalankan oleh institusi-institusi penyelidikan dan universiti berdasarkan kepada bidang keutamaan yang ditetapkan. Dalam hubungan ini institusi terlibat bebas untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan masing-masing.

Bagi pelaksanaan projek-projek R&D bioteknologi di bawah Rancangan Malaysia Kelapan dan juga Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak 92 paten telah didaftarkan di dalam dan di luar negara oleh institusi penyelidikan dan universiti yang mendapatkan pembiayaan dari kementerian ini.

Hasil dari penyelidikan yang dijalankan dalam tempoh RMK-8 dan RMK-9 setakat ini sebanyak 28 produk yang mempunyai nilai komersial telah dibangunkan. Antara produk-produk berkenaan ialah kit diagnostik untuk penyakit kolera, tifoid dan kit pengesahan pantas untuk mengesan terhadap keracunan pada sayur-sayuran.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini ingin dimaklumkan bahawa beberapa produk kit diagnostik yang telah dikomersialkan oleh Malaysia Bio Diagnostik Research Sdn. Bhd. adalah merupakan hasil R&D bioteknologi yang dibiayai oleh kementerian ini yang kini digunakan oleh hospital, klinik dan pusat kesihatan di negara kita.

Selain itu terdapat juga permintaan untuk kit diagnostik ini daripada pihak swasta untuk pasaran dalam negara selain turut mendapat pasaran di luar negara seperti Filipina, Pakistan, India, Brunei, Indonesia, Korea Selatan, Vietnam, Thailand, Guam, Australia dan Timor Leste.

Tuan Yang di-Pertua, kementerian ini tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai siswazah yang berkhidmat dalam sektor bioteknologi keseluruhannya. Namun demikian berdasar kepada rekod daripada 71 syarikat yang bertaraf BioNexus terdapat seramai 1,400 orang tenaga kerja mahir bioteknologi sedang berkhidmat pada masa ini. Terima kasih.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Pengalaman saya dalam mitasi menggunakan sinaran kita dapat menghasilkan satu benih padi yang rendah, yang batangnya tahan daripada pukulan angin, yang menghasilkan buah yang baik dan juga tahan daripada penyakit bena perang.

Jadi dalam bioteknologi ini selain daripada kit diagnostik yang disebutkan oleh Yang Berhormat Menteri tadi apakah produk di dalam pertanian yang boleh kita hebahkan dalam masyarakat yang menjadi satu hasil terbaik daripada R&D bioteknologi. Terima kasih.

Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili: Terima kasih pada Yang Berhormat Hulu Langat yang selalu minat dalam bidang genetik, radiation dan seterusnya. Pihak kementerian sedia maklum mengenai benih padi yang dimaksudkan tadi. Dari segi bahagian pertanian sebenarnya begitu banyak sekali institusi kita iaitu Institut Biotech, IBI sedang bekerja rapat dengan pihak MARDI dalam perkara ini untuk menembuskan lagi bidang-bidang yang baru.

Dari segi bahagian biotech pertanian memang begitu luas sekali namun pada saat ini kementerian hanya memfokuskan penyelidikan dalam bidang animal bioteknologi dan menyokong program-program dalam bidang penyelidikan berasas kepada bidang-bidang pertanian khususnya.

Dari segi benih-benih ataupun sektor-sektor lain ini terus dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tetapi senarai yang terperinci saya boleh bekal secara bertulis kerana begitu panjang Yang Berhormat.




Tools Printer Friendly Version of This Page Email This Listing to a Friend

This listing has been viewed 1266 times.
Contact admin | About us | Term Of Use | 6

Disclaimer: We shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.